INFO KESIHATAN
STOP VAPING, START HEALING: E-ROKOK & ‘POPCORN LUNG’
Oleh: Dr Firdaus Azim
Satu kajian yang telah dijalankan oleh sekumpulan saintis dari Harvard School of Public Health pada hujung tahun 2015 telah mendapati sejenis bahan kimia diasetil (diacetyl) dijumpai dalam 75% e-rokok berperisa dan cecair isiannya. Diacetyl telah dikaitkan dengan sejenis penyakit peparu yang dikenali sebagai ‘popcorn lung’ (peparu jagung bertih).
‘Popcorn lung’ atau ‘bronchiolitis obliterans’ adalah sejenis penyakit serius di mana tisu pada pundi udara (‘air sac’) peparu menjadi parut. Sehingga kini, satu-satunya rawatan bagi memulihkan keadaan ini adalah melalui pemindahan peparu. Pesakit mengalami batuk-batuk dan sesak nafas sebagaimana yang dilihat dalam pesakit yang mengalami penyakit pulmunari (peparu) sumbatan kronik (COPD) dan lelah (asthma).
Pesakit menunjukkan simptom penyakit ini secara perlahan-lahan. Pesakit juga boleh menghadapi demam, berpeluh pada waktu malam dan hilang berat badan. Penyakit memerlukan kepada beberapa jenis ujian seperti pemeriksaan fungsi peparu, x-ray dan CT scan. Hanya melalui biopsi tisu peparu sahaja dapat membuat pengesahan ke atas penyakit berkenaan.
Maka, adakah kita masih mahu mengambil mudah akan isu ini?
Usaha memerangi budaya vaping atau apa sahaja bentuk rokok yang jelas mendatangkan 1001 keburukan memerlukan kepada usaha yang berterusan. Pendidikan awam memerlukan kepelbagaian pendekatan dan berkreativiti bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran.
Sumber:
1. http://ehp.niehs.nih.gov/wp-content/uploads/advpub/2015/12/ehp.1510185.acco.pdf
2. http://www.cdc.gov/niosh/topics/flavorings/
3. http://www.medicinenet.com/popcorn_lung_symptoms_and_causes/views.htm
🌹🍁🌹🍁🌹🍁🌹