*INFO KETUA KAMPUNG*
5.7.2016
PERUTUSAN EN MASADAN B MOHSIN , KETUA KAMPUNG MERANGKAP PENGERUSI JKKK KG BKT KAPAR, KLANG, SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA IDUL FITRI 2016/1437H.
Assalamualaikum WBT...
*Kepada Seluruh Penduduk Kg Bkt Kapar Yang Dirahmati ALLAH SWT Sekalian*
Kita merafakkan kesyukuran ke hadhrat ALLAH SWT kerana dengan limpahan rahmat dan nikmat NYA memungkinkan kita sekali lagi dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Idul Fitri 2016/1437H dalam suasana aman dan harmoni.
Dalam kesempatan bulan yang penuh kemuliaan ini, saya dan isteri serta seisi keluarga bersama seluruh Ahli Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung , Kampung Bukit Kapar mengucapkan *TAQABBALALLAHU MIN KUM DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA IDULFITRI , MINAL AEIDIN WAL FAIZIN SERTA MAAF ZAHIR DAN BATIN* kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat khususnya seluruh penduduk Kg Bukit Kapar.
Pada hari ini umat Islam seluruh dunia merayakan Hari Raya Idulfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Seperti lazimnya sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan solat sunat Hari Raya , mereka akan saling berkunjung di kalangan sanak- saudara dan sahabat- taulan dengan mengenakan pakaian-pakaian yang baru dan indah serta menikmati hidangan yang istimewa . Namun ingat dan insaflah sesungguhnya masih ada di kalangan penduduk kampung ini yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembelaan lantas menuntut kita menyantuni mereka agar dapat bersama-sama merasai kegembiraan di hari yang mulia ini.
Idulfitri yang kita rayakan merupakan simbol kemenangan umat Islam setelah berjaya mengharungi ibadah puasa selama sebulan. Jagalah adab kita sewaktu menyambut hari raya, janganlah kita kotori dan cemari ketaqwaan yang telah bersungguh-sungguh kita bina dan pupuk sepanjang Ramadhan yang lalu. Jadikanlah sambutan hari raya sebagai pengerat hubungan silaturrahim di kalangan seluruh penduduk kampung ini dengan bermaaf-maafan tanpa mengira batas umur, darjat, warna kulit dan fahaman politik. Pelihara dan pupuklah hubungan kita dengan rasa penuh kasih sayang demi memperkasakan lagi keutuhan dan keharmonian serta persaudaraan kita yang sebenarnya menjadi salah satu tuntutan dalam agama Islam.
Melalui ibadah puasa kita dituntut bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum tetapi hendaklah menahan seluruh pancaindera daripada segala perkara yang dilarang oleh ALLAH SWT. Paling utama kita hendaklah berusaha mendidik nafsu kita agar sentiasa redha dan tunduk serta patuh kepada seluruh ketetapan daripada ALLAH SWT.
Harapan saya apabila kita keluar daripada Universiti Ramadhan yang sarat dengan pendidikan dan tarbiah kerohanian akan menjadikan kita seorang insan dan muslim yang berkualiti dan bertaqwa. Kita melangkah dengan penuh bergaya sebagai graduan *Universiti Ramadhan* sambil di tangan kita erat menggenggam segulung *Ijazah Taqwa*. Semoga Ijazah Taqwa ini akan menjadi bekal dan senjata yang ampuh bagi menghadapi sebelas(11) bulan akan datang untuk berhadapan dengan musuh tradisi kita iaitulah *Syaitan dan Nafsu*kita sendiri.
Dengan bekalan *Taqwa* ini juga saya mengharapkan agar tuan/puan seluruhnya akan mampu memainkan peranan sebagai ahli masyarakat dan penduduk yang berkualiti dan menyumbang kepada perkara-perkara kebaikan untuk manfaat kampung kita yang kita sayangi bagi memastikan tercapainya : *"Baldatun Toiyibatun Wa Rabbun Ghaffur"*.
Akhir sekali , saya dan isteri beserta keluarga bersama seluruh Shli Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung, Kampung Bkt Kapar dengan penuh rasa kasih sayang seikhlas hati semurni kasih merakamkan ucapan *"SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA IDULFITRI MINAL AEIDIN WAL FAIZIN SERTA MAAF ZAHIR DAN BATIN"* kepada seluruh penduduk Kg Bukit Kapar.
Sekian Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
MASADAN BIN MOHSIN
KETUA KAMPUNG & PENGERUSI JKKK KG BUKIT KAPAR.
No comments:
Post a Comment