INFO MASJID
NOTA PENGHARGAAN DARI MASJID SEMPENA MAJLIS-MAJLIS PERKAHWINAN
Bismillahirrahmanirrahim,
Pihak Masjid merakamkan tahniah kepada pasangan pengantin & ahli keluarga yang akan menganjurkan majlis perkahwinan dalam masa terdekat ini. Justeru itu, pihak Masjid ingin menyeru atas dasar ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wata’ala agar menjaga hukum & adab majlis perkahwinan yang bakal dianjurkan nanti, supaya ia selari dengan nilai-nilai agama Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Terdapat beberapa perkara utama yang perlu mendapat tindakan & perhatian sewajarnya untuk diperbaiki & dielakkan dalam majlis perkahwinan nanti. Di antaranya adalah:
1.Sekiranya mengadakan majlis akad nikah di Masjid, hendaklah menjaga kehormatan Masjid seperti hadir dengan pakaian yang menutup aurat & sopan, tidak membuat bising, sesi fotografi yang tidak berlebihan dan sebagainya.
2.Pasangan pengantin hendaklah berpakaian menutup aurat (iaitu mestilah longgar, bertudung, tidak jarang dan sebagainya) dan disyorkan supaya tidak berhias berlebih-lebihan seperti meniru pakaian-pakaian tema agama lain yang tidak sesuai dengan nilai masyarakat setempat.
3.Hindarkan hiburan berbentuk karaoke, lagu-lagu yang berunsur hiburan semata-mata, lirik-lirik & irama yang keras, nyanyian perempuan, acara berjoget dan sebagainya. Cukuplah dengan memutarkan lagu-lagu yang sederhana, bertemakan Islam sekadar untuk hiburan sampingan.
4.Perhatikan adat-adat sepanjang majlis perkahwinan yang tidak selari dengan Islam seperti adat menepung tawar, menabur beras kunyit, persandingan, pembaziran melampau dan sebagainya. Termasuklah amalan perbuatan menggunakan khidmat juruandam mak nyah, amalan bersalam-salaman dengan pengantin bukan mahram, menabur makanan atau gula-gula untuk dikutip oleh kanak-kanak, melempar kalungan bunga untuk disambut, dan sebagainya.
Ini adalah di antara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian. Ahli jemaah digalakkan agar merujuk kepada pihak Masjid, para Ustaz & Ustazah bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkenaan majlis perkahwinan yang menepati kehendak Islam.
Ketahuilah, sesungguhnya kebahagiaan rumahtangga perlulah diusahakan sejak dari peringkat majlis perkahwinan lagi. Semoga dengan usaha kita menuruti perintah Allah Subhanahu wata’ala & sunnah Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini akan mengundang kebahagiaan yang berkekalan dan keberkatan bagi rumahtangga yang dibina.
Sekian, wabillahil hidayatu wat taufiq, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarokatuh.
No comments:
Post a Comment