Saturday 5 December 2015

Johan Kampung Tradisi Terbaik Peringkat Negeri

INFO BUKIT KAPAR

Selangorkini - Mobile
m.selangorku.com
Oleh: NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 5 DIS: Berkat permuafakatan kukuh sesama penduduk, Kampung Bukit Kapar, Klang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM50,000 lagi dalam bentuk geran pembangunan selepas dinobatkan sebagai kampung tradisi terbaik peringkat negeri malam tadi.

Ketua Kampung, Masadan bin Mohsin percaya pelbagai kegiatan bermanfaat dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) antara penyebab kampungnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

"Selain muafakat, kampung kami juga aktif pelbagai aktiviti seperti silat, kompang, muzik tradisional cempoling dan permainan gasing untuk semua lapisan umur.

"Penduduk kampung juga aktif menjalankan kegiatan usahawan dan kegiatan ekonomi lain di kampung kami," katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas menerima hadiah pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku di Masjid Ar-Rahman, Hulu Bernam di sini, malam tadi.

Hadiah disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tempat kedua dimenangi Kampung Sijangkang dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan Kampung Bukit Kerayong di tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah RM7,000.

Karnival Kampungku Kesayanganku (KKK) yang dirasmikan Dato Dr Ahmad Yunus malam tadi merupakan karnival terakhir bagi tahun ini.

Selain penyampaian hadiah bagi kampung tradisi terbaik, pelbagai progam lain turut diadakan pada program dua hari itu seperti pameran, ruang niaga, program berkhatan dan pelbagai persembahan selebriti terkenal Eliza Helmi AF dan Da'i Hamidah.

🌹🌿🌹🌿🌹🌿🌹

No comments:

Post a Comment