Wednesday 23 December 2015

Selangorkini - Kampung Tradisi Terbaik

INFO BUKIT KAPAR
Selangorkini - Mobile
m.selangorku.com
Oleh: HAFIZAN TAIB

KLANG, 22 DIS: Kampung Bukit Kapar boleh menjadi contoh kepada pembangunan kampung tradisi lain di Selangor ekoran kejayaannya muncul kampung tradisi terbaik Selangor 2015, baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pelbagai inisiatif dilakukan penduduk untuk kemajuan kampung terbabit yang boleh menjadi rujukan kampung atau pihak lain.

"Dua perkara penting diketengahkan melalui hasil lawatan saya ialah perkara kebaikan bagi tujuan pembangunan masyarakat di kampung tradisi di Selangor.

"Ia juga merangkumi perkara berkaitan dengan isu keselamatan kerana dua perkara ini menjadi asas utama dalam sesebuah kampung itu sendiri," katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Dr Ahmad Yunus mengadakan lawatan kerja ke kampung terbabit untuk meninjau program dan aktiviti dijalankan komuniti kampung itu yang melayakkannya muncul juara dalam pertandingan anjuran Kerajaan Negeri.

Katanya, pembangunan teknologi maklumat (IT) digerakkan di situ dipuji dan ia mencontohi semangat Kerajaan Negeri dipelopori Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah Smart Selangor.

"Dalam taklimat, saya melihat whatsapp broadcast group dibina adalah input baik boleh dikongsi masyarakat di kampung lain yang banyak membawa kebaikan.

"Kita boleh menjadikannya sebagai bahan media iaitu maklumat terkini kepada pembangunan atau perkara berkaitan dengan sesebuah kampung itu sendiri," katanya.

Pada awal Disember lalu, Kampung Bukit Kapar muncul kampung tradisi terbaik peringkat negeri dan membawa pulang hadiah RM15,000 dan RM50,000 lagi dalam bentuk geran pembangunan.

Ketua Kampung, Marshadan Mohsin berkata, pelbagai kegiatan bermanfaat dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) antara penyebab kampungnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
🌺🌸🌺🌸🌺🌸🌺

No comments:

Post a Comment